Kredit dpd UZAR
Laylatul
 Qadar atau Malam al-Qadar telah diketahui umum sebagai malam yang amat 
istimewa buat seluruh umat Islam. Ia berdasarkan ayat al-Quran dari 
surah al-Qadr . Firman Allah SWT : 
Ertinya : "Malam Al-Qadar lebih baik dari seribu bulan"  (Al-Qadr : 2) . 
Di
 Malam ini jugalah Nabi SAW bersungguh-sungguh beribadat melebihi 
malam-malam Ramadhan yang lain.  Disebutkan di dalam sebuah hadith :- 
Ertinya
 : Adalah Nabi SAW, beribadat dengan (lebih) bersungguh dan kuat di 
sepuluh malam terakhir Ramdhan, tidak sebagaimana baginda di malam-malam
 yang lain" ( Riwayat Muslim, no 1175 )
Sebuah lagi hadis menyebut :- 
انه كان يعتكف فيها ويتحرى ليلة القدر خلالها
Ertinya : "Adalah
 Nabi SAW beriktikaf padanya dan berusaha mencari malam al-qadar darinya
 (malam-malam ramadhan)" ( Riwayat al-Bukhari & Muslim) 
أن النبي صلى الله عليه وسلم كان إذا دخل العشر أحيا الليل وأيقظ أهله وشد مئزره 
Ertinya
 : " Apabila telah masuk 10 terakhir bulan Ramadhan, maka Nabi 
menghidupkan malam, mengejutkan isterinya dan mengetatkan kainnya (tidak
 menyetubuhi isterinya kerana amat sibuk dengan ibadat yang khusus)" ( 
Riwayat Al-Bukhari dan Muslim) 
Waktunya 

Para
 ulama antaranya Syeikh Dr Yusof Al-qaradawi menyebut bahawa tarikh 
malam lailatul qadar sengaja di sembunyikan oleh Allah SWT agar umat 
manusia berusaha bersungguh-sungguh bagi mencarinya, bagaimanapun ada 
disebutkan terdapat tanda-tanda akan kemunculan malam yang terhebat ini.
 
Iaitu
 seperti hari esoknya yang tidak terlampu panas dan tidak pula sejuk, 
matahari pula tidak memancarkan sinarannya dan pelbagai lagi. Ia 
semuanya berasal dari hadith-hadith yang sohih. 
Bagaimanapun
 tanda-tanda ini tidaklah begitu penting bagi individu yang benar-benar 
telah beribadat sepanjang malam. Ia juga tidak banyak memberikan manfaat
 kerana malam tersebut sudah terlepas sekiranya tanda itu dikenalpasti 
esoknya.
Malah,
 tanda ini juga adalah amat sukar menjadi tepat kerana suasana dan cuaca
 sesebuah Negara adalah berlainan. Di Negara barat contohnya mungkin 
sentiasa mendung kerana berada dalam musim sejuk, musim bunga manakala 
di Afrika pula mungkin sedang mengalami keterikan. Adakah malam al-qadar
 tidak muncul di tempat mereka kerana setiap siang adalah terik?. 
Jawabnya, tanda-tanda ini hanyalah contoh yang berlaku di zaman Nabi SAW dan tidak lebih dari itu. 
Menurut
 pandangan yang paling kuat di kalangan para ulama, ianya berlaku pada 
sepuluh malam yang terakhir, iaitu pada malam-malam ganjil. 
Hadith Nabi menyebut:- 
التمسوها في العشر الأواخر من رمضان 
Ertinya : " Carilah ia (malam al-qadar) di sepuluh malam terakhir dari bulan ramadhan" (Riwayat Bukhari dan Muslim) 
Bagaimanapun,
 kita sekali lagi mungkin kebingungan pada tahun-tahun tertentu JIKA 
negara Arab memulakan puasa pada tarikh yang berbeza dengan 
negara-negara di Nusantara. Justeru, pada malam ganjil menurut kiraan 
Malaysia atau Saudi ?. Hal ini sukar diputuskan oleh para Ulama. 
Sudahnya, mereka menyarankan agar dihidupkan seluruh malam sahaja. 
Jawapan termudah tetapi tidak memuaskan hati tentunya. Wallahu alam.
 
 
Tarikhnya Berubah atau Tetap Setiap Tahun?
Sebahagian
 ulama mengatakannya bersifat tetap pada setiap tahun iaitu pada malam 
27 Ramadhan, manakala majoriti ulama termasuk Imam An-Nawawi As-Syafie 
pula berpendapat ianya bertukar-tukar pada setiap tahun dan tidak kekal 
pada satu tarikh (Al-Majmu' 6/450). 
Selain
 dari itu, berdasarkan dalil hadith al-Bukhari, kemungkinan terbesar 
adalah jatuh pada tujuh malam terakhir iaitu samada 25, 27 atau 29 
Ramadhan berdasarkan sabdaan Nabi SAW:- 
أرى رؤياكم قد تواطأت في السبع الأواخر ، فمن كان متحريها فليتحرها في السبع الأواخر 
Ertinya
 : Aku lihat mimpi kamu (sahabat) telah menepati di tujuh malam 
terakhir, sesiapa yang mencarinya, maka carilah ia di tujuh malam 
terakhir" ( Riwayat al-Bukhari , no 1911 & Muslim) 
Dari
 tiga tarikh harapan itu, tarikh 27 Ramdhan adalah yang paling 
diharapkan oleh kebanyakan umat Islam (terutamany di negara Arab) dan ia
 juga dipegang oleh kebanyakan Sahabat Nabi SAW serta ulama silam, 
sehinggakan seorang sahabat bernama Ubay Bin Ka'ab ra bersumpah ia 
adalah malam ke dua puluh tujuh (di zamannya secara khasnya kerana 
beliau telah melihat tandanya dan yakin tarikh itu tidak berubah pada 
tahun-tahun berikutnya) dan zaman lain umumnya, sebagaimana dalil hadith
 yang menyebut:- 
ليلة القدر ليلة سبع وعشرين 
Ertinya : "Malam al-Qadar dalah malam ke dua puluh tujuh" (Riwayat Ahmad, Abu Daud, no 1386 )
Doa Terpenting Semasa Lailatul Qadar 
Allah
 s.w.t pernah menegur manusia yang lupa doa untuk akhirat mereka di masa
 puncak kemakbulan doa. Anataranya seperti hari Arafah, sebagaimana 
dinyatakan dalam firmanNya :-
فَمِنَ النَّاسِ مَن يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا وَمَا لَهُ فِي الآخِرَةِ مِنْ خَلاَقٍ
Ertinya
 : Maka di antara manusia ada orang yang berdoa: "Ya Tuhan kami, berilah
 kami (kebaikan) di dunia", dan tiadalah baginya bahagian (yang 
menyenangkan) di akhirat ( Al-Baqarah : 200 ) 
Jelas dalam ayat ini Allah s.w.t menegur manusia yang lupakan kebaikan akhiratnya.
Lalu
 Allah s.w.t mewartakan bentuk doa yang sepatutnya, iaitu yang 
merangkumi kebaikan dunia dan akhirat..dan dilebihkan 'portion' atau 
bahagian akhirat apabila di tambah "selamatkan dari api neraka". Beerti 
doa untuk bahagian akhirat perlu lebih dari dunia.
Lihat doa yang diingini Allah s.w.t :-
وِمِنْهُم مَّن يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Ertinya
 : "Dan di antara mereka ada orang yang berdoa: ""Ya Tuhan kami, berilah
 kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami 
dari siksa neraka" ( Al-Baqarah : 201 )
Di
 malam-malam akhir ramadhan ini target utama kita adalah mendapatkan 
keampunan Allah s.w.t. Inilah yang disebut dalam jawapan nabi s.a.w 
kepada Aisyah r.a :-
وقالت عائشة ـ رضي الله عنها ـ : يا رسول الله إن وافقت ليلة القدر، فما أقول ؟ قال: قولي: اللهم إنك عفو تحب العفو فاعف عني 
Ertinya
 : "Berkatalah Aisyah , Wahai Rasulullah, jika aku berkesempatan bertemu
 Malam Al-Qadar, apakah yang perlu aku katakan (doa) ? Bersabda Nabi : "
 Sebutlah doa " Ya Allah sesungguhnya dikaulah maha pengampun , dan amat
 suka memberi ampun, maka berikanlah daku keampunan" 
Mestikah Mendapat Tanda ? 
Sabda Nabi SAW : 
من يقم ليلة القدر فيوافقها.. 
Ertinya : Barangsiapa yang menghidupkan malam qadar ini dan mendapatnya..." ( Riwayat Muslim) 
Hadiith
 ini menyebabkan setengah ulama mengatakan bahawa setiap individu yang 
mendapat keberkatan malam al-qadar mestilah mengetahui berdasarkan 
hadith di atas. 
Bagaimanapun,
 pandangan yang lebih tepat adalah seseorang individu itu mampu mendapat
 kebaikannya, samada ia mengetahuinya atau tidak mengetahuinya, tanpa 
menafikan bahawa sesetengah individu diberi rezeki  dan kelebihan oleh 
Allah untuk mengetahuinya melalui pelbagai cara termasuk mimpi, tanda 
menarik dan mungkin pelik dan sebagainya. 
Tidak
 perlulah untuk solat malam di tepi pokok atau di hadapan baldi air, 
kerana ingin memastikan waktu pokok sujud atau air menjadi beku. Allah 
akan memberikan tandanya menurut kehendakNya.
Masa Berkat Berpanjangan atau Hanya Beberapa Saat?
Saya
 masih ingat, semasa saya berada di zaman kanak-kanak, tersebar info 
kepada kebanyakkan saya dan rakan-rakan ketika itu adalah : 
waktu maqbul dan berkat ini beberapa saat sahaja. Jika terlepas maka saatnya rugilah sepanjang hayat. 
Rupanya,
 ia hanya rekaan para pereka cipta sahaja yang tidak diketahui tujuan 
mereka. Hakikatnya, waktu berkat lagi makbul ini adalah luas sepanjang 
malam, ia telah disebutkan oleh Allah dengan jelas iaitu :-
سَلَامٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ
Ertinya : Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar ( Al-Qadr : 5 )
Inilah yang diterangkan oleh Imam Al-Qurtubi di dalam kitabnya. (Al-Jami' Li  Ahkam al-Quran, 20/134 )
Wanita Haid Terhalang Dari Berkatnya ?
Adakah
 wanita sedang haid terhalang dari keberkatan lailatul Qadar?. Sudah 
tentu jawabnya tidak, Allah s.w.t maha adil. Bagi wanita sedang uzur 
pelbagai amalan dan ibadah yang masih boleh dilakukan seperti :-
- 
1) Berzikir
- 
2) Berdoa
- 
3) Membawa terjemahan Al-Quran serta memahaminya.
- 
4) Mendengar bacaan Al-Quran oleh suaminya, adik beradik atau dari kaset.
Sebahagian
 ulama silam dan moden seperti Syeikh Prof. Dr Muhammad Abu Laylah ( 
Prof Syariah di Univ Al-Azhar) berpendapat mereka dibenarkan juga 
membaca al-Quran tanpa memegangnya  (melalui hafazan), malah sebahagian 
yang lain seperti Fatwa Ulama Saudi pula membenarkan mereka membacanya 
melalui mashaf. Saya tidak ingin membincangkannya di sini. Sekadar 
memberikan idea dan keterbukaan di kalangan para ulama.
Semoga kita diberikan kekuatan ibadah dan keikhlasan di waktu malam tersebut. 
sekian 
Zaharuddin Abd Rahman
20 Ramadhan 1428 H
2 Oktober 2007 
 
No comments:
Post a Comment